Menurut
buku The Conditions of Learning, 1970, tokoh ahli psikologi, Robert M Gagne
menyatakan bahawa pembelajaran adalah perubahan atau kemampuan seseorang yang
dapat dikekalkan tetapi tidak disebabkan oleh pertumbuhan. Perubahan yang
dipanggil pembelajaran diperlihatkan melalui perubahan tingkah laku; dengan
membandingkan tingkah laku seseorang individu sebelum didedahkan kepada situasi
pembelajaran dengan tingkah lakunya selepas didedahkan dengan situasi pembelajaran.
Pembelajaran juga dianggap sebagai perolehan maklumat dan pengetahuan,
penguasaan kemahiran dan tabiat, serta pembentukan sikap dan kepercayaan.
Pengurusan pembelajaran merujuk kepada segala usaha
guru bagi melengkapkan pendekatan dan strategi pengajaran dengan melibatkan
pelajar supaya belajar melalui penggunaan sumber-sumber pembelajaran. Manakala
sumber ialah sebarang bahan yang digunakan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran
yang berasaskan sumber boleh memberikan pemahaman yang mendalam kepada pelajar.
Contohnya, sumber bahan bercetak, sumber berasaskan manusia dan sumber
komputer.
Pembelajaran berasaskan sumber juga melibatkan
penggunaan sumber-sumber sekolah yang ada untuk proses pengajaran dan
pemudahcaraan (PdPc) dengan menggunakan sumber atau media pengajaran dan
sebagainya dalam menjalankan proses pengajaran. Selain itu, konsep pembelajaran
berasaskan sumber menggunakan seluruh deria iaitu melihat, merasa, mendengar, menyentuh
dan mengaplikasi teori dalam situasi sebenar iaitu praktikal. Pembelajaran
berasaskan sumber ini membolehkan penglibatan pelajar secara aktif dalam
pembelajaran dan pelajar dapat bergerak maju mengikut kebolehan masing-masing.
Selain itu, guru juga boleh menggunakan “instructional methodology” yang
pelbagai untuk mempertingkatkan proses pengajaran dan pembelajaran serta
peluang mewujudkan situasi pembelajaran untuk individu atau kumpulan kecil.
Akhirnya, pembelajaran berasaskan sumber memudahkan pelajar
untuk mendapatkan maklumat yang tepat. Pembelajaran berasaskan sumber juga
dapat memudahkan proses pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc). Oleh itu,
pembelajaran berasaskan sumber ini juga dapat membantu pelajar dalam
pembelajaran kerana kaedah pembelajaran berasaskan sumber ini meliputi satu
mata pelajaran yang dibimbing oleh guru dan berpusat kepada murid.
No comments:
Post a Comment