Monday, 1 June 2020

DEFINISI PENGURUSAN SUMBER


             Definisi pengurusan ialah cara untuk mendapatkan sesuatu, atau membuat penentuan ke atas pengagihan sumber. Selain itu, ianya merupakan satu proses aktiviti tadbir untuk merancang, mengorganisasi, memimpin dan mengawal sumber secara cekap dan berkesan ke arah mencapai matlamat organisasi yang telah ditetapkan. Definisi sumber ialah segala punca atau cara-cara tersedia yang ada pada diri individu, keluarga dan dalam persekitaran yang disedari atas potensinya atau kebolehannya bagi memenuhi sesuatu permintaan.
              Pengurusan sumber pula merupakan satu proses mengawal, mengelola dan mengurus sesuatu bahan yang disediakan bagi melaksanakan sesuatu pembelajaran. Setiap sekolah dibekalkan dengan pelbagai sumber seperti bahan bercetak, kaset, audio, pita video, perisian multimedia dan internet. Guru perlulah menguasai kemahiran memilih bahan yang sesuai untuk digunakan secara optimum supaya hasil yang terbaik dalam pengajaran dan pembelajarannya. Setelah mengenalpasti semua sumber dan bahan pembelajaran yang boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran, seseorang guru perlu membuat keputusan untuk memilih bahan yang paling berkesan untuk digunakan di dalam bilik darjah. Di samping itu juga, guru perlulah mahir menggunakan bahan-bahan untuk mendapatkan hasil pengajaran yang terbaik.
         Selain itu, terdapat sumber-sumber yang disediakan di sekolah bagi memberi kemudahan kepada pelajar untuk lebih memahami sesuatu pembelajaran. Antaranya ialah perpustakan sekolah, makmal sains, makmal komputer dan sebagainya. Sumber-sumber ini penting bagi meningkatkan kemahiran seseorang pelajar. Sebagai contoh, setelah guru memberi penerangan kepada pelajar mengenai sesuatu topik, guru perlulah membawa pelajar ke makmal sains untuk membolehkan pelajar lebih mamahami topik yang diajar melalui aktiviti amali yang berlaitan dengan topik tersebut. Oleh itu, pengurusan sumber-sumber ini perlulah diuruskan dengan baik supaya dapat sentiasa digunakan oleh pelajar untuk memperolehi ilmu tambahan dimana pelajar bukan hanya belajar menggunakan buku dan belajar di dalam kelas sahaja.

KONSEP PEMBELAJARAN BERASASKAN SUMBER

Menurut buku The Conditions of Learning, 1970, tokoh ahli psikologi, Robert M Gagne menyatakan bahawa pembelajaran adalah perubahan atau kemampuan seseorang yang dapat dikekalkan tetapi tidak disebabkan oleh pertumbuhan. Perubahan yang dipanggil pembelajaran diperlihatkan melalui perubahan tingkah laku; dengan membandingkan tingkah laku seseorang individu sebelum didedahkan kepada situasi pembelajaran dengan tingkah lakunya selepas didedahkan dengan situasi pembelajaran. Pembelajaran juga dianggap sebagai perolehan maklumat dan pengetahuan, penguasaan kemahiran dan tabiat, serta pembentukan sikap dan kepercayaan.
Pengurusan pembelajaran merujuk kepada segala usaha guru bagi melengkapkan pendekatan dan strategi pengajaran dengan melibatkan pelajar supaya belajar melalui penggunaan sumber-sumber pembelajaran. Manakala sumber ialah sebarang bahan yang digunakan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan sumber boleh memberikan pemahaman yang mendalam kepada pelajar. Contohnya, sumber bahan bercetak, sumber berasaskan manusia dan sumber komputer.
Pembelajaran berasaskan sumber juga melibatkan penggunaan sumber-sumber sekolah yang ada untuk proses pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) dengan menggunakan sumber atau media pengajaran dan sebagainya dalam menjalankan proses pengajaran. Selain itu, konsep pembelajaran berasaskan sumber menggunakan seluruh deria iaitu melihat, merasa, mendengar, menyentuh dan mengaplikasi teori dalam situasi sebenar iaitu praktikal. Pembelajaran berasaskan sumber ini membolehkan penglibatan pelajar secara aktif dalam pembelajaran dan pelajar dapat bergerak maju mengikut kebolehan masing-masing. Selain itu, guru juga boleh menggunakan “instructional methodology” yang pelbagai untuk mempertingkatkan proses pengajaran dan pembelajaran serta peluang mewujudkan situasi pembelajaran untuk individu atau kumpulan kecil.




Akhirnya, pembelajaran berasaskan sumber memudahkan pelajar untuk mendapatkan maklumat yang tepat. Pembelajaran berasaskan sumber juga dapat memudahkan proses pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc). Oleh itu, pembelajaran berasaskan sumber ini juga dapat membantu pelajar dalam pembelajaran kerana kaedah pembelajaran berasaskan sumber ini meliputi satu mata pelajaran yang dibimbing oleh guru dan berpusat kepada murid.


PERANAN DAN FUNGSI SUMBER PEMBELAJARAN


Tidak dinafikan bahawa sumber merupakan satu bahan yang penting bagi memudahkan pelajar untuk memahami sesutau topik atau tajuk dengan lebih mudah. Salah satu sumber pembelajaran adalah pusat sumber sekolah. Pusat sumber merupakan suatu gedung, ruang atau sejumlah ruangan yang mempunyai banyak koleksi buku dan journal yang dipelihara dengan baik untuk digunakan oleh masyarakat. Selain itu, pusat sumber juga merupakan pusat media, pusat pelajar, pusat pendidikan, pusat informasi dan pusat rujukan. Pusat sumber berkembang dengan pesat disebabkan oleh pelbagai fungsi dan peranan mengikut kesesuaian perkembangan pola kehidupan masyarakat serta keperluan dan teknologi maklumat. Dari segi teknologi maklumat, pusat sumber virtual dan perkembangan ini sejajar dengan fungsi dan peranannya. Pusat sumber sekolah mempunyai peranan yang sangat penting, antaranya:




1)    Pusat kegiatan belajar dan mengajar.

  •       Para guru dan pelajar akan sentiasa membuat rujukan dan mencari bahan daripada perpustakaan. Para guru akan mencari bahan-bahan yang bersesuaian bagi membuat persediaan sebelum mengajar. Dalam proses pengajaran di bilik darjah, pelbagai sumber rujukan di pusat sumber juga dapat membantu pelajar dalam mengulangkaji pelajaran mereka dan mencari bahan rujukan tambahan untuk meningkatkan kefahaman atau menambahkan maklumat yang telah didapati di dalam kelas. Pelajar tidak dapat mengetahui dengan mendalam sesuatu pelajaran itu jika hanya bergantung pada guru sahaja tanpa membuat rujukan tambahan.
2)    Mengisi masa lapang.
  •          Dengan adanya pusat sumber, pelajar dapat mengisi masa lapang dengan lebih berfaedah daripada mereka meluangkan masa dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti melepak, membeli belah dan sebagainya. Di samping itu, mereka boleh berbincang dan melakukan tugasan bersama rakan-rakan dengan menggunakan pelbagai bahan rujukan yang terdpat di pusat sumber.
3)  Pusat perkembangan idea dan kreativiti.
  •        Pusat sumber juga merupakan pusat pengembangan idea dan kreativiti. Hal ini kerana pusat sumber bukan sahaja menyediakan buku-buku rujukan malahan membekalkan pelajar-pelajar dengan bahan yang berinovatif. Ini kerana, pusat sumber yang bergiat aktif, akan selalu menjalankan program yang boleh mencungkil atau mengasah bakat pelajar dan meningkatkan ilmu pengetahuan pelajar.
4)    Pusat professional.
  •        Program-program yang dijalankan di pusat sumber dapat membantu guru bagi menghasilkan idea yang lebih kreatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Bukan itu sahaja, pusat sumber juga dapat meningkatkan ikhtisas keguruan dari aspek kerja berkumpulan dan usaha-usaha meningkatkan prestasi dan kemajuan pendidikan di sesebuah sekolah.